Tuesday, July 15, 2008

HUKUM MEMBACA AL-QUR’AN BERAMAI-RAMAI (BERJEMA’AH) DAN MENGIRIM PAHALA BACAAN

Membaca al-Fatihah, Surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas,Yasin dan beberapa ayat lain secara beramai-ramai bertentangan dengan nas al-Quran, hadis-hadis sahih dan athar para sahabat. Firman Allah: “Apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”. (Al-A’raaf 7:204).Al-Quran bukan untuk dibacakan kepada si Mati, kerana orang mati tidak mampu mendengar perintah al-Quran, firman Allah: “Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang mati itu mendengar”. (An-Naml: 27:80).“Tdak sama orang yang hidup dan orang yang mati, sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang dikehendakiNya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang dalam kubur mendengar”.

PERBUATAN BAIK ANAK YANG SOLEH
Apabila seseorang mati, terputus dengan dunia kecuali tiga perkara, sebagaimana hadis: "Apabila mati seseorang insan, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)Ibn Abbar berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w bertanya: Ya Rasulullah! Ibuku telah meninggal sedangkan dia masih berhutang puasa sebulan belum dibayar, apakah boleh aku membayarnya untuk ibuku? Baginda menjawab: Andaikata ibumu menanggung hutang apakah engkau yang membayarnya? Beliau menjawab: Ya! Maka baginda bersabda: Hutang kepada Allah lebih patut dibayarnya”.“Dari ‘Aisyah berkata: Bahawasanya seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku telah mati mendadak, sehingga dia tidak berkesempatan untuk berwasiat dan saya rasa andaikan ia mendapat kesempatan berkata tentu dia berwasiat. Adakah ia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Baginda menjawab: Ya!”.Ibn Abbas berkata: Seorang perempuan Juhainah datang kepada Nabi s.a.w bertanya: Ibuku nazar akan mengerjakan haji, tetapi dia meninggal sebelum menunaikan nazarnya, boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Ya, hajikan untuknya! Bagaimana sekiranya ibumu menanggung hutang, apakah engkau yang membayarnya? Bayarlah hak Allah, kepada Allah lebih layak orang membayarnya".Ibnu Abbas berkata: Seorang lelaki menemui Nabi Muhammad s.a.w lalu bertanya: Ayahku telah meninggal dan belum mengerjakan haji, apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Bagaimana jika ayahmu meninggalkan hutang, apakah kamu yang membayarnya? Jawabnya: Ya! Baginda bersabda: Maka hajikanlah untuk ayahmu".Ibn Abbas berkata: Ibu Sa'ad bin 'Ubadah meninggal sedang Sa'ad tidak ada. Lalu Sa'ad berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal diwaktu aku tidak ada di rumah, apakah kiranya berguna baginya jika aku bersedekah? Baginda menjawab: Ya! Berkata Sa'ad: Saya persaksikan kepadamu bahawa kebun kurma yang berbuah itu sebagai sedekah untuknya".Dari Ibn Abbas: Seorang wanita suku Khasy'am menemui Nabi Muhammad lalu bertanya: Ya Rasulullah! Kewajipan Allah atas hambaNya berhaji telah menimpakan ayahku yang sangat tua sehingga tidak dapat berkenderaan, apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Ya boleh! Dan pertanyaan ini terjadi ketika haji al-Wada'.Dari Abi Hurairah: Ada seorang lelaki menemui Nabi dan berkata: Ayahku telah meninggal, dia meninggalkan harta dan tidak berwasiat, maka apa berguna baginya jika aku bersedekah untuk dia? Jawab baginda: Ya!".Al-Quran Untuk Yang Hidup, Bukan Untuk Si MatiMenghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si Mati, dihukum bid’ah, haram dan tidak sampai oleh para ulama besar as-Syafieyah. Mereka berdalilkan firman Allah: "Al-Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan supaya dia memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup”. (Yasin: 36:69-70)Kerana orang mati hanya bertanggungjawab di atas apa yang telah diamalkan oleh dirinya, kerana Allah berfirman: "Sesungguhnya seseorang itu tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain dan bahawasanya manusia tidak akan memperolehi ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan". (An-Najm: 53:38-39)(10). Berkata Ibn Kathir rahimahullah yang bermazhab as-Syafie: "Melalui ayat ini, Imam Syafie dan para pengikutnya mengambil hukum bahawa pahala bacaan dan hadiah pahala tidak sampai kepada si Mati kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha meraka. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w tidak pernah mensyariatkan umatnya dan mendesak agar melakukan perkara tersebut".Imam as-Syaukani menjelaskan: "Seseorang tidak mendapat melainkan balasan atas usahanya dan ganjaran amalan, ia tidak memberi manfaat kepada seseorang akan amalan orang lain."Menurut Ibn Kathir ayat ini bermaksud: "Sebagaimana tidak dipikulkan dosa orang lain begitu juga ia tidak mendapat ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan sendiri".Ibn Kathir menegaskan: "Sesungguhnya manusia itu hanya menerima balasan menurut amalnya, jika baik maka baiklah balasannya, jika buruk maka buruklah balasannya". Dan berkata lagi: "Tidak pernah disalin perkara (menghadiahkan bacaan kepada si Mati) walaupun seorang dari kalangan para sahabat radiallahu 'anhum. Jika sekiranya ia suatu yang baik pasti mereka telah mendahului kita melakukannya".Imam Ibnu Jarir at-Tabari menafsirkan ayat ini: "Bahawasanya seseorang itu tidak menerima balasan dari amalnya, melainkan apa yang telah dikerjakannya sendiri, sama ada itu baik atau buruk".Imam Ibnu Jarir at-Tabari menjelaskan: "Tidak diseksa seseorang itu dengan sesuatu seksaan jika ia tidak mengerjakan dosa tersebut, dan tidak diberi ganjaran di atas amal soleh untuk orang yang tidak mengerjakannya ". (11). Fakhuruddin ar-Razy (Tafsir FakrurRazi) bermazhab Syafie menafsirkan: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak memberi manfaat kepada orang lain yang tidak melakukannya, sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan sebab kebaikan orang lain dan tidak seseorangpun akan menanggung dosanya".(12). Imam Jalalain (Tafsir Jalalain) bermazhab as-Syafie menegaskan: "Maka seseorang tidak akan mendapat apa-apapun dari usaha orang lain".Menurut jumhur ulama tafsir, terutamanya Ibn Abbas: “Telah berkata ‘Aisyah ketika mendengar hal tersebut: Cukuplah bagi kamu ayat al-Quran. Bahawa kamu tidak (dipertanggung-jawabkan) untuk memikul dosa orang yang lain". H/R Bukhari dan Muslim.Ibn Kathir menjelaskan: "Seseorang jiwa hanya dibalas menurut amalannya. Jika baik maka baiklah balasannya dan jika amalannya jahat maka jahatlah balasannya". Setiap insan hanya menuai apa yang disemainya, firman Allah: "Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka untuk dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka (dosa-dosanya) atas dirinya sendiri dan tidaklah Tuhanmu menganiaya hambaNya".(Fushilat 41: 46)"Kamu tidak akan diberi balasan kecuali apa yang telah kamu kerjakan". (as-Saffat 37:39)"Baginyalah apa yang dia kerjakan dan atasnyalah apa yang dia usahakan". (al-Baqarah: 2:286)."Sesiapa yang kafir maka dia sendirilah yang menanggung kekafirannya dan sesiapa yang beramal soleh maka untuk diri mereka sendiri". (Ar-Rum: 30:44)."Sesiapa yang melakukan kejahatan maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan". (Al-Mukmin 40:40)."Sesiapa beramal secara yang bersesuaian dengan hidayah, sesungguhnya dia telah berbuat untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat, kesesatan itu bagi dirinya sendiri. Seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain". (al-Isra’ 17:15)"Sesiapa yang membersihkan dirinya maka dia telah membersihkan dirinya sendiri". (Fatheer 35:18)"Hendaklah kamu takut kepada satu hari yang tidak boleh seseorang melepaskan sesuatu apa pun dari seseorang yang lain". (Al-Baqarah 2: 123)"Pada hari tidak seorang pun teraniaya sedikit juapun dan tidak dibalas pada kamu melainkan apa yang kamu telah kerjakan". (Yasin 36: 54)"Hai manusia! Hendaklah kamu takut kepada satu hari (di akhirat) yang (di dalamnya) tidak boleh seseorang bapa melepaskan (sesuatu apa pun) dari anaknya dan tidak pula anaknya boleh melepaskan sesuatu apa dari ayahnya". (Luqman 31: 33)"Sesiapa yang bekerja keras (di dunia) maka tidak lain melainkan untuk dirinya sendiri". (al-Ankabut 29:6)(13). Imam Fakhrurddin ar-Razi (bermazhab as-Syafie) memberi komentar tentang menghadiahkan pahala amalan kepada orang mati: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak boleh memberi manfaat kepada orang yang lain kerana sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak akan mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah sempurna dan jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan kebaikan orang lain dan tidak ada orang lain yang boleh menanggung segala dosanya".Imam at-Tabari yang pakar dalam ilmu tafsir dan fiqh as-Syafie menerangkan: "Bahawasanya tidak akan dibalas seseorang yang beramal melainkan mengikut amalannya, jika baik dibalas baik dan jika buruk akan dibalas buruk". Kerana banyak nas-nas al-Quran yang menjelaskan perkara ini antaranya: "Tiap-tiap jiwa (seseorang) bergantung kepada apa yang telah ia usahakan (semasa hidupnya)". (at-Thuur 52:21)"Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat melainkan apa yang telah diusahakan". (An-Najm 53:39)"Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar debu pasti dia akan melihatnya dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat debu pasti dia akan melihatnya". (al-Zalzalah 99: 7-8)"Pada hari seseorang itu akan melihat apa yang telah diusahakan oleh kedua tangannya". (an-Naba’ 78:41)Tahlilan, yasinan, menghadiahkan pahala bacaan kepada orang mati dan kenduri arwah sama sekali tidak ada dalilnya, tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah dan para sahabat atau para Salaf as-Soleh tidak pernah melakukannya, oleh yang demikian Imam as-Syafie menghukumnya bid’ah berdasarkan hadis: “Sesiapa yang melakukan sesuatu perbuatan yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak (sia-sia dan bid’ah)”. (Hadis Riwayat Muslim)

IHSAN DARI BLOG FIQH DAN SUNNAH

No comments: