Sunday, September 13, 2009

Waktu buka puasa di udara


As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ketua persatuan ulamak sedunia telah
mengeluarkan fatwa pada hari Ahad lepas mengenai penentuan waktu berbuka
puasa bagi orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang.
Beliau menyatakan bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka ini adalah ketika
jatuhnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka, iaitu
bukan mengikut negara yang ia berada di atasnya.

Mengikut fatwanya, setiap penumpang-penumpang kapal terbang yang ingin
berbuka puasa, waktunya tidak boleh mengikut negara yang mereka bertolak
daripadanya dan juga tidak boleh mengikut negara yang ditujukannya dan
juga negara yang ia berada atasnya. Akan tetapi waktunya ialah ketika
hilangnya matahari daripada penglihatan mata lender meraka.
As-Syeikh berkata, sesungguhnya dia dikejutkan ketika sekembalinya beliau
daripada Kaherah ke Doha pada awal Ramadhan baru-baru ini dengan
pengumuman daripada seorang pilot asing yang bukan islam bahawa sekarang
telah masuknya waktu berbuka puasa, dalam waktu yang sama matahari masih
terpampang dan siangnya masih jelas. Pengumuman itu berpandukan kepada
negara yang berada di bawahnya telah memasuki waktu berbuka.
Fadhilatussyeikh telah menceritakan dialognya bersama penumpang-penumpang
first class yang duduk bersebelahannya. Syeikh berkata, tidak harus kamu
berbuka puasa sebelum terbenamnya matahari, sebenarnya waktu maghrib masih
belum masuk, adakah sah kamu solat maghrib pada tika ini? Jawab mereka,
tidak!! Maka aku menjawab balik, demikianlah juga berbuka puasa, tidak
boleh ia dilakukan sebelum tiba masanya.
Aku mengakhirkan kalamku dengan mengatakan bahawa manusia itu setiapkali
dia berada ditempat tinggi daripada bumi maka akan lewat matahari itu
terbenam. Demikianlah juga orang-orang yang tinggal di bukit-bukau atau
ditempat –tempat yang tinggi maka akan lewatlah terbenamnya matahari dari
penglihatan mereka berbanding dengan orang-orang yang tinggal
berhampirannya di tempat rendah atau tanah berdatar.
Akhirnya, Al-Qaradawi telah meminta pesawat Qatar (yang berlaku kejadian
ini) dan juga pesawat-pesawat arab lain supaya memperingatkan pilot-pilot
supaya berhati-hati dengan perkara ini dan memastikan waktu berbuka puasa
betul-betul selepas terbenamnya matahari.

Monday, March 23, 2009

Barclay Premier League




Saingan liga Inggeris yang memang top kat Malaysia mengalahkan liga tempatan..so takde salahnya kot aku memberi sedikit pendapat dan ulasan…..

Perlawanan ke 30 baru berakhir malam tadi dengan Liverpool membelasah calon tempat ke empat sebelum ini iaitu Aston Vila. Aku memang kagum melihat kesungguhan pemain Liverpool setelah mencatat kemenangan besar menentang Man Utd dan sebelum itu Real Madrid. Dua gergasi dalam kancah arena bolasepak antarabangsa ini kelihatan seperti pasukan divisyen dua. Steven Gerrard berjaya menjaringkan hatrik pertamanya dalam liga premier. Sebelum ini dia belum pernah berjaya menjaringkan 3 gol dalam liga premier walaupun pernah melakukannya diperingkat eropah. Pasukan di atas mula terasa tekanan. Pasukan di bawah semakin mencari peluang mengisi slot di atas. Walaubagaimanapun aku pasti Man Utd akan bangkit semula, jadi saingan kini lebih terbuka luas. Chelsea yang cuba mencuri peluang juga terkandas apabila dikejutkan Totenham dengan permainan yang laju. Arsenal dengan pembelian Arshavin dan kehadiran semula bintang- bintang yang cedera sebelum ini menampakkan kebangkitan. Tetapi dengan jurang 10 mata agak sukar untuk mengejar, mereka cuma mahukan slot ke UEFA Champion League. Man Utd mempunyai kurang satu perlawanan menentang Portsmouth bagi menjarakkan jurang dengan Liverpool, tetapi saingan kini lebih terbuka dengan perbezaan mata yang minimum berbaki 8 perlawanan apa yang boleh dilakukan oleh Liverpool atau mungkin Chelsea untuk mengejar Man Utd . Apa- apa pun kita tunggu dan lihat. Adios

Sunday, February 22, 2009

INJURED,,


Salam,

Lama rasenya tidak menulis dalam blog ini, rasa kekok pula untuk menulis kembali...tetapi memandangkan adanya masa buat masa sekarang so, aku pun menulis kembali....Aku mengalami kecederaan lutut yang agak kronik ketika bermain futsal. Pada mulanya aku aku sangkakan kecederaan biasa, apabila lututku terhentak ketika bermain sebagai penjaga gol. Setelah berehat hampir seminggu aku gagahkan untuk bermain kembali...tetapi tidak sampai lima minit...aku terpaksa keluar..kemudian aku bercuti hampir sebulan...aku bermain kembali tetapi kakiku masih terasa sakit ketika berlari.Sudah hampir 5 bulan lututku masih terasa sakit..aku cuba juga untuk bermain tetapi kesakitan yang sentiasa aku alami menjadikan aku takut. Mungkin sudah tiba masanya aku berhenti bermain dan mencari jalan bagi merawat sakitku terlebih dahulu..Goodbye futsal for now....

Saturday, December 13, 2008

Soalan Sempena Sambutan Tahun Hijrah

Soalan Sempena Sambutan Tahun Hijrah

Ditanya Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin Mengenai Beberapa Soalan Tentang Sambutan Hijrah

Soalan: Adakah Nabi s.a.w mula berhijrah pada bulan Muharram seperti difahami oleh kebanyakan masyarakat awam di Malaysia ini?

Jawapan: Sebenar ahli-ahli sejarah meriwayatkan bahawa baginda s.a.w keluar dari rumah baginda menuju rumah Abu Bakar untuk berhijrah adalah pada bulan Safar. al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam buku sirahnya yang terkenal Al-Rahiq al-Makhtum mencatatkan bahawa pada 27 Safar bersamaan dengan 13 September tahun 622M. Kemudian di Gua Thur. Pada hari pertama Rabiul Awwal bersamaan 16 September barulah baginda bergerak ke Madinah atau yang dikenali dengan nama Yasrib ketika itu. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal bersamaan dengan 23 September barulah baginda sampai ke Quba. Baginda berada selama empat hari di Quba dan mengasaskan Masjid Quba. Kemudian pada hari Jumaat minggu tersebut barulah baginda memasuki Madinah.

Dengan ini, maka sangkaan sesetengah pihak bahawa Nabi s.a.w berhijrah pada bulan Muharram adalah tidak tepat. Sebaliknya bulan Muharram adalah bulan pertama dalam perkiraan Arab. Maka tahun hijrah dikira bukan kerana Nabi s.a.w berhijrah pada Muharram, tetapi kerana tahun berkenaan berlakunya peristiwa hijrah. Maka tahun peristiwa itu berlaku dikira sebagai tahun pertama. Adapun bulan Muharram sememangnya bulan pertama bagi tahun Arab seperti Januari bagi tahun masihi.

Soalan: Adakah doa-doa khas awal tahun yang dibaca, atau majlis-majlis bacaan khusus sempena awal tahun itu berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w?

Jawapan: Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah itu sebagai perkiraan kalender kita ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin. Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun. Selagi mana tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan. Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w juga para sahabah baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam dengan dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itu pun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu. Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w.

Soalan: Apakah kita langsung kita tidak boleh mengadakan sebarang majlis pada awal tahun hijrah?

Jawapan: Sambutan Hijrah ini tidak boleh buat atas asas ianya amalan khas agama ini. Ini kerana kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada mengada-adakan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dalam soal ibadah atau menokok tambah agama sedangkan baginda bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” Riwayat Muslim.

Namun majlis mengingatkan rakyat tentang tahun baru ini -pada pandangan saya- boleh diadakan atas adat negeri atau bangsa dengan tujuan mengingatkan rakyat tentang tarikh baru sesuatu tahun dengan itu lalu membolehkan mereka merancang aktiviti dan menimbulkan semangat kesepakatan serta kesungguhan. Perhimpunan menggerakkan semangat pencapaian dan kerja adalah urusan kehidupan yang diboleh syarak selagi tiada dalil tentang keharamannya. Ia bukan ibadah khusus. Di samping itu, seperti mana apabila kita melintasi sesuatu tempat atau negeri kita menyebut tentang sejarahnya, demikian apabila kita melintasi sesuatu tarikh kita menyebut tentang sejarahnya. Sebagai satu pengajaran dan proses pembelajaran. Ia dibolehkan. Namun ibadah yang khusus sempena tarikh berkenaan tidak boleh dilakukan melainkan terdapat dalil yang sabit daripada baginda Nabi s.a.w.

Thursday, September 18, 2008

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah

**Artikel lepas tulisan Dr Mohd Asri yang dicadangkan untuk bacaan bersempena dengan Ramadhan ini**

TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.

Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.

Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.

Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut.

Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.

Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat.

Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34).

Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263).

Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama.

Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.

Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.

Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara.

Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.

Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?!

Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis;

Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari).

Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya.

Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya:

Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.

Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr).

Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis.

Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik.

Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis.

Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih).

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air…

Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh.

Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187).

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh).

Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya.

Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal.

Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.

Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain baginda bersabda:

Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan.

Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).

Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti.

Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan.

Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.

Thursday, August 14, 2008

I'm Back Again...

Salam, dah genap sebulan aku tak update blog aku, ini semua berlaku gara2 tiada kemudahan internet di office mahupun di rumah aku. Kene blok internet kat offc..ape punye kedekutlah...pakai sorang ke 200 org ke byr same gak. Tapi apekan nasib terpaksa akurlah dengan boss, kang kene buang kerje pulak kalau melawan. Perbahasan mengenai penubuhan league futsal unilly semakin rancak diperdebatkan...ape2 pun tunggu dan lihat jelah...Wassalam.

Tuesday, July 15, 2008

HUKUM MEMBACA AL-QUR’AN BERAMAI-RAMAI (BERJEMA’AH) DAN MENGIRIM PAHALA BACAAN

Membaca al-Fatihah, Surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas,Yasin dan beberapa ayat lain secara beramai-ramai bertentangan dengan nas al-Quran, hadis-hadis sahih dan athar para sahabat. Firman Allah: “Apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”. (Al-A’raaf 7:204).Al-Quran bukan untuk dibacakan kepada si Mati, kerana orang mati tidak mampu mendengar perintah al-Quran, firman Allah: “Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang mati itu mendengar”. (An-Naml: 27:80).“Tdak sama orang yang hidup dan orang yang mati, sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang dikehendakiNya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang dalam kubur mendengar”.

PERBUATAN BAIK ANAK YANG SOLEH
Apabila seseorang mati, terputus dengan dunia kecuali tiga perkara, sebagaimana hadis: "Apabila mati seseorang insan, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)Ibn Abbar berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w bertanya: Ya Rasulullah! Ibuku telah meninggal sedangkan dia masih berhutang puasa sebulan belum dibayar, apakah boleh aku membayarnya untuk ibuku? Baginda menjawab: Andaikata ibumu menanggung hutang apakah engkau yang membayarnya? Beliau menjawab: Ya! Maka baginda bersabda: Hutang kepada Allah lebih patut dibayarnya”.“Dari ‘Aisyah berkata: Bahawasanya seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku telah mati mendadak, sehingga dia tidak berkesempatan untuk berwasiat dan saya rasa andaikan ia mendapat kesempatan berkata tentu dia berwasiat. Adakah ia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Baginda menjawab: Ya!”.Ibn Abbas berkata: Seorang perempuan Juhainah datang kepada Nabi s.a.w bertanya: Ibuku nazar akan mengerjakan haji, tetapi dia meninggal sebelum menunaikan nazarnya, boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Ya, hajikan untuknya! Bagaimana sekiranya ibumu menanggung hutang, apakah engkau yang membayarnya? Bayarlah hak Allah, kepada Allah lebih layak orang membayarnya".Ibnu Abbas berkata: Seorang lelaki menemui Nabi Muhammad s.a.w lalu bertanya: Ayahku telah meninggal dan belum mengerjakan haji, apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Bagaimana jika ayahmu meninggalkan hutang, apakah kamu yang membayarnya? Jawabnya: Ya! Baginda bersabda: Maka hajikanlah untuk ayahmu".Ibn Abbas berkata: Ibu Sa'ad bin 'Ubadah meninggal sedang Sa'ad tidak ada. Lalu Sa'ad berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal diwaktu aku tidak ada di rumah, apakah kiranya berguna baginya jika aku bersedekah? Baginda menjawab: Ya! Berkata Sa'ad: Saya persaksikan kepadamu bahawa kebun kurma yang berbuah itu sebagai sedekah untuknya".Dari Ibn Abbas: Seorang wanita suku Khasy'am menemui Nabi Muhammad lalu bertanya: Ya Rasulullah! Kewajipan Allah atas hambaNya berhaji telah menimpakan ayahku yang sangat tua sehingga tidak dapat berkenderaan, apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Ya boleh! Dan pertanyaan ini terjadi ketika haji al-Wada'.Dari Abi Hurairah: Ada seorang lelaki menemui Nabi dan berkata: Ayahku telah meninggal, dia meninggalkan harta dan tidak berwasiat, maka apa berguna baginya jika aku bersedekah untuk dia? Jawab baginda: Ya!".Al-Quran Untuk Yang Hidup, Bukan Untuk Si MatiMenghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si Mati, dihukum bid’ah, haram dan tidak sampai oleh para ulama besar as-Syafieyah. Mereka berdalilkan firman Allah: "Al-Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan supaya dia memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup”. (Yasin: 36:69-70)Kerana orang mati hanya bertanggungjawab di atas apa yang telah diamalkan oleh dirinya, kerana Allah berfirman: "Sesungguhnya seseorang itu tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain dan bahawasanya manusia tidak akan memperolehi ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan". (An-Najm: 53:38-39)(10). Berkata Ibn Kathir rahimahullah yang bermazhab as-Syafie: "Melalui ayat ini, Imam Syafie dan para pengikutnya mengambil hukum bahawa pahala bacaan dan hadiah pahala tidak sampai kepada si Mati kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha meraka. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w tidak pernah mensyariatkan umatnya dan mendesak agar melakukan perkara tersebut".Imam as-Syaukani menjelaskan: "Seseorang tidak mendapat melainkan balasan atas usahanya dan ganjaran amalan, ia tidak memberi manfaat kepada seseorang akan amalan orang lain."Menurut Ibn Kathir ayat ini bermaksud: "Sebagaimana tidak dipikulkan dosa orang lain begitu juga ia tidak mendapat ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan sendiri".Ibn Kathir menegaskan: "Sesungguhnya manusia itu hanya menerima balasan menurut amalnya, jika baik maka baiklah balasannya, jika buruk maka buruklah balasannya". Dan berkata lagi: "Tidak pernah disalin perkara (menghadiahkan bacaan kepada si Mati) walaupun seorang dari kalangan para sahabat radiallahu 'anhum. Jika sekiranya ia suatu yang baik pasti mereka telah mendahului kita melakukannya".Imam Ibnu Jarir at-Tabari menafsirkan ayat ini: "Bahawasanya seseorang itu tidak menerima balasan dari amalnya, melainkan apa yang telah dikerjakannya sendiri, sama ada itu baik atau buruk".Imam Ibnu Jarir at-Tabari menjelaskan: "Tidak diseksa seseorang itu dengan sesuatu seksaan jika ia tidak mengerjakan dosa tersebut, dan tidak diberi ganjaran di atas amal soleh untuk orang yang tidak mengerjakannya ". (11). Fakhuruddin ar-Razy (Tafsir FakrurRazi) bermazhab Syafie menafsirkan: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak memberi manfaat kepada orang lain yang tidak melakukannya, sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan sebab kebaikan orang lain dan tidak seseorangpun akan menanggung dosanya".(12). Imam Jalalain (Tafsir Jalalain) bermazhab as-Syafie menegaskan: "Maka seseorang tidak akan mendapat apa-apapun dari usaha orang lain".Menurut jumhur ulama tafsir, terutamanya Ibn Abbas: “Telah berkata ‘Aisyah ketika mendengar hal tersebut: Cukuplah bagi kamu ayat al-Quran. Bahawa kamu tidak (dipertanggung-jawabkan) untuk memikul dosa orang yang lain". H/R Bukhari dan Muslim.Ibn Kathir menjelaskan: "Seseorang jiwa hanya dibalas menurut amalannya. Jika baik maka baiklah balasannya dan jika amalannya jahat maka jahatlah balasannya". Setiap insan hanya menuai apa yang disemainya, firman Allah: "Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka untuk dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka (dosa-dosanya) atas dirinya sendiri dan tidaklah Tuhanmu menganiaya hambaNya".(Fushilat 41: 46)"Kamu tidak akan diberi balasan kecuali apa yang telah kamu kerjakan". (as-Saffat 37:39)"Baginyalah apa yang dia kerjakan dan atasnyalah apa yang dia usahakan". (al-Baqarah: 2:286)."Sesiapa yang kafir maka dia sendirilah yang menanggung kekafirannya dan sesiapa yang beramal soleh maka untuk diri mereka sendiri". (Ar-Rum: 30:44)."Sesiapa yang melakukan kejahatan maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan". (Al-Mukmin 40:40)."Sesiapa beramal secara yang bersesuaian dengan hidayah, sesungguhnya dia telah berbuat untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat, kesesatan itu bagi dirinya sendiri. Seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain". (al-Isra’ 17:15)"Sesiapa yang membersihkan dirinya maka dia telah membersihkan dirinya sendiri". (Fatheer 35:18)"Hendaklah kamu takut kepada satu hari yang tidak boleh seseorang melepaskan sesuatu apa pun dari seseorang yang lain". (Al-Baqarah 2: 123)"Pada hari tidak seorang pun teraniaya sedikit juapun dan tidak dibalas pada kamu melainkan apa yang kamu telah kerjakan". (Yasin 36: 54)"Hai manusia! Hendaklah kamu takut kepada satu hari (di akhirat) yang (di dalamnya) tidak boleh seseorang bapa melepaskan (sesuatu apa pun) dari anaknya dan tidak pula anaknya boleh melepaskan sesuatu apa dari ayahnya". (Luqman 31: 33)"Sesiapa yang bekerja keras (di dunia) maka tidak lain melainkan untuk dirinya sendiri". (al-Ankabut 29:6)(13). Imam Fakhrurddin ar-Razi (bermazhab as-Syafie) memberi komentar tentang menghadiahkan pahala amalan kepada orang mati: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak boleh memberi manfaat kepada orang yang lain kerana sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak akan mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah sempurna dan jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan kebaikan orang lain dan tidak ada orang lain yang boleh menanggung segala dosanya".Imam at-Tabari yang pakar dalam ilmu tafsir dan fiqh as-Syafie menerangkan: "Bahawasanya tidak akan dibalas seseorang yang beramal melainkan mengikut amalannya, jika baik dibalas baik dan jika buruk akan dibalas buruk". Kerana banyak nas-nas al-Quran yang menjelaskan perkara ini antaranya: "Tiap-tiap jiwa (seseorang) bergantung kepada apa yang telah ia usahakan (semasa hidupnya)". (at-Thuur 52:21)"Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat melainkan apa yang telah diusahakan". (An-Najm 53:39)"Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar debu pasti dia akan melihatnya dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat debu pasti dia akan melihatnya". (al-Zalzalah 99: 7-8)"Pada hari seseorang itu akan melihat apa yang telah diusahakan oleh kedua tangannya". (an-Naba’ 78:41)Tahlilan, yasinan, menghadiahkan pahala bacaan kepada orang mati dan kenduri arwah sama sekali tidak ada dalilnya, tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah dan para sahabat atau para Salaf as-Soleh tidak pernah melakukannya, oleh yang demikian Imam as-Syafie menghukumnya bid’ah berdasarkan hadis: “Sesiapa yang melakukan sesuatu perbuatan yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak (sia-sia dan bid’ah)”. (Hadis Riwayat Muslim)

IHSAN DARI BLOG FIQH DAN SUNNAH